Wacana Intelelektual Akidah: Ancaman Ideologi Semasa Di Malaysia Serta Kesannya Kepada Perundangan Negara

Melaka, 05 April 2016 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui Institut Pemantapan Dan Perkaderan Akidah Malaysia(IPHAM), Jelebu, Negeri Sembilan telah berjaya mengadakan Program Wacana Intelelektual Akidah: Ancaman Ideologi Semasa Di Malaysia Serta Kesannya Kepada Perundangan Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) bertempat di Auditorium Al-Azim, Melaka.
 
Wacana ini dihadiri seramai 800 orang peserta terdiri daripada Kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Penjawat Awam, Guru-guru Takmir, Guru-guru Pendidikan Islam, Guru-guru Kafa, Imam-Imam masjid, NGO Islam dan Kolej-kolej swasta. Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu: Liberalisme dan Pluralisme Agama: Pertentangannya dengan Akidah dan Syariat Islam yang telah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Akhrun Bin Musa daripada JAKIM. Kertas kerja yang kedua iaitu Pengukuhan Akidah melalui Pendekatan Wasatiyyah disampaikan oleh YBhg Dato’ Haji Mohd Yusof bin Din, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM). Manakala kertas kerja yang ketiga bertajuk Terrorism: Ancaman dan bahaya kepada masyarakat Malaysia oleh ASP Sufian bin Ali daripada Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman. Pada sesi petang pula, diadakan forum Pentas 1 Akidah 1 Ummah yang bertajuk Jihad: Antara Menegakkan Kesucian Islam atau Menyuburkan Keganasan. Antara ahli panel ialah YBhg. S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, manakala panel yang kedua YBhg. S.F. Ustaz Abdul Halim bin Tawil, Timbalan Mufti Melaka dan moderator forum YBhg. Ustaz Najmuddin bin Abd Karim daripada JAKIM.
 
YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Insan JAKIM dalam ucapan aluannya bahawa program sebegini merupakan satu kesungguhan dan komitmen yang tinggi kerajaan dalam memartabatkan Islam khususnya dalam mempertahankan Akidah umat Islam.
 
Majlis Perasmian Wacana telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Yaakub bin Md. Amin, Timbalan Majlis Agama Islam Melaka yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka. Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini membuktikan komitmen pihak berkuasa agama dalam membanteras isu-isu akidah melalui medium pendidikan sekaligus menepis tuduhan segelintir pihak mengatakan pihak berkuasa agama hanya gemar menghukum dan tidak gemar berdiskusi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tarikh: 
Apr 08, 2016