Saudara Muslim : Koordinasi Dan Transformasi

Kesepakatan, kesepaduan, penyelarasan dan sinergi perlu ada di antara JAKIM dan JAIN/MAIN bagi mencapai persetujuan bersama dalam menjaga kebajikan muallaf Malaysia antara ucapan YBhg. Dato’ Haji Ali b. Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah, Jakim. Beliau yang mempengerusikan Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendaftar-Pendaftar Muallaf Malaysia Siri I/2016 pada 5 April 2016 (Selasa) di Dewan Syura Abu Bakar As-Siddiq, Institut Latihan Islam berhasrat agar seluruh agensi terlibat dalam pembanguanan Suadara Muslim dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.
 
Persidangan kali ini dihadiri oleh pendaftar-pendaftar muallaf seluruh Malaysia bertujuan bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengIslaman, pendaftaran, perkahwinan, pendidikan dan kebajikan muallaf. Antara kertas makluman yang turut dibentangkan di dalam persidangan ini ialah Hala Tuju Masyarakat Orang Asli Islam 2016-2020 dan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan Tahun 2016. Persidangan ini menjadi medan perbincangan dan perkongsian idea antara agensi agar dapat mencapai satu penyelesaian pelbagai isu dan fungsi agensi pusat dalam mengkoordinasi pembangunan Saudara Muslim seluruh Malaysia.
 
 
 
 
Tidak berakhir hanya di sini. Sidang petang disambung pula dengan Persidangan Meja Bulat : Isu-Isu Saudara Muslim yang dipengerusikan oleh YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam). Pertemuan yang pertama kali diadakan ini diharap dapat menjadi platform untuk perkongsian idea yang memberi impak positif dalam dakwah. Jakim sebagai agensi pusat berperanan untuk menyelaras setiap usaha dan inisiatif badan dakwah sama ada kerajaan atau ngo’s yang mengendalikan dakwah muallaf. Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa gerak kerja dakwah merupakan gerak kerja yang berterusan dan semua pihak perlu istiqamah dalam usaha dakwah mengikut bidang kepakaran masing-masing.
 
Terdapat kertas penyelidikan yang telah dibentangkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Persidangan yang dihadiri oleh pelbagai individu profesional, pemikir dan aktivis yang berkecimpung dalam pengendalian dakwah serta kebajikan saudara muslim khusus dalam masyarakat. Pelbagai isu berkaitan saudara muslim telah dibincangkan secara tuntas dan holistik untuk mencapai resolusi kontemporari seiring dengan arus teknologi.
 
Turut hadir dalam persidangan ialah Dato’ Dr. Hj Mustapha Ma (PERKIM), Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (MACMA), Prof. Dr. Ridhuan Tee (UNISZA) dan individu yang terlibat secara khusus dalam ngo’s saudara muslim. Perbincangan dan perkongsian idea dalam persidangan ini membuktikan sinergi pelbagai pihak yang bertanggungjawab serta menjadi batu loncatan untuk pembangunan muallaf agar lebih terpimpin dan berdaya saing.
 
 
 
 
 
 
 
 
Tarikh: 
Apr 11, 2016